cetusan nurani

Sunday, July 30, 2006

ANDA PUAS?


sengaja saya mengutarakan tajuk seperti di atas. saya cuma pelik, adakah saya seorang sahaja yang tidak puas dengan hidup? ya, saya tahu, kita sebagai hamba ALLAH pelu sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. tetapi, kadangkala, syaitan lebih mudah memainkan peranannya.persoalannya, apa yang tidak memuaskan hati saya?

baiklah, pertamanya, saya belum puas menimba ilmu. ya, saya amat meminati ibadat ini. namun, yang menyebabkan saya sedikit tidak puas hati, mengapa saya tidak boleh menjadi seperti orang lain, seperti NUR AMALINA CHE BAKRI misalnya. mengapa? mungkin kerana saya tidak bersyukur agaknya!

kadangkala saya terfikir, kalau sekarang pun saya tidak bersyukur dengan kelebihan saya, bagaimana pula agaknya keadaan saya jika saya menjadi insan yang hebat. mungkin, pada waktu itu, saya berasa rimas pula menjadi public figure. mungkin? siapa tahu. manusia memang tidak reti bersyukur. saya mengakuinya.

selain daripada itu, saya belum puas bergembira. saya benar-benar ingin memperoleh satu masa yang saya boleh bergembira sepuas-puasnya. seketika, saya tersedar, mungkin jika saya terlalu melayan nafsu kegembiraan itu, saya akan hanyut. ya, hanyut dalam gelora ria. mungkin, saya akan terjebak dengan gejala negatif . huh, minta dijauhkan.

konklusinya, saya tidak merasakan kita perlu mewujudkan rasa tidak puas hati dalam jiwa kita. ini kerana , mungkin pada masa yang sama, badai akan menimpa. oleh itu, bersyukurlah, hidup ini kan umpama roda. kalau lama kita di bawah, kita juga akan lama di puncak jaya. jangan risau, kejayaan akan mengiringi anda, suatu hari nanti.

HIDUP INI ADIL
salam syukur

Friday, July 28, 2006

BAHASA JIWA BANGSA

sudah lama saya tidak menulis di blog ini. masa amat mencemburui saya. alhamdulillah, saya berpeluang juga akhirnya. saya ingin bertanya kepada anda, sejauh manakah anda menguasai bahasa kebangsaan kita? suka saya mangatakan bahawa saya amat fasih berbahasa. saya begitu berbangga dengan kebolehan saya dan tidak malu walaupun orang zaman moden menganggap bahasa malaysia bukan lagi bahasa kelas pertama. malah, saya yakin, jika wujud 5 lagi orang seperti saya, bahasa melayu mungkin mengulangi sejarah sebagai lingua franca seperti zaman kesultanan melayu melaka suatu ketika dahulu.

saya bukan hendak memperlekehkan kehebatan bahasa inggeris, tetapi bagi saya, bahasa inggeris tidak mementingkan kepentingan tatasusila. tidakkah anda sedar bahawa apabila kita menggunakan bahasa inggeris sesama ahli keluarga, tiada lagi ungkapan ayah, abah, mama, along serta angah. malahan nama panggilan tanda penghormatan tersebut digantikan pula dengan istilah YOU. seperti kurang enak didengar bukan? anda yang membuat pilihan sendiri. kadangkala kita terlepas pandang sesuatu yang kecil kerana galak mengejar sesuatu yang besar.

namun, pada masa yang sama, saya tidak pula mengatakan bahawa bahasa inggeris itu tidak penting. saya sendiri mahir berbahasa inggeris . malah, ibu- bapa saya sering kali menasihati saya mendalami bahasa ini. jika ibu bapa saya mengimpikan saya menjadi insan yang fasih berbahasa inggeris, saya pula mengharapkan kebolehan yang bakal saya kecapi sebagai batu loncatan untuk memartabatkan bahasa melayu. bagaimana? biarlah saya simpan dahulu sebagai rahsia.

BAHASA MEMARTABATKAN BANGSA
SALAM SAHABAT

Monday, July 10, 2006

GAGAL SEKALI BUKAN BERMAKNA GAGAL SELAMANYA

Gagal? mungkin ramai di luar sana takutkan kegagalan. tipu untuk saya katakan bahawa saya bergembira apabila gagal.namun, ada pelbagai peristiwa dalam hidup saya terjadi berpaksikan kegagalan lalu.

sebagai seorang pelajar yang sememangnya mencintai ilmu, saya akui kegagalan adalah guru yang paling berguna. kegagalan pertama dalam hidup saya bermula apabila saya gagal mendapat 5A dalam UPSR. ya, mungkin anda berasa meluat melihat perangai saya tetapi itulah saya.saya masih ingat lagi semasa saya balik ke rumah dan menangis hambir seminggu lamanya dengan keputusan 3A 2B, ya. 3A 2B. inilah salah satu sikap yang saya cuba kikis dalam diri tetapi masih tegar. mungkin masa akan menentukan segalanya.

dengan berbekalkan keazaman yang kuat, saya berhasrat untuk mencipta satu kejayaan yang gemilang dalam PMR, belajar daripada pengalaman lalu, saya mengambil peluang sebanyak 3 tahun sejak dari tingkatan 1 untuk belajar bersungguh- sungguh. Alhamdulillah, kerja keras saya berbaloi dan sekaligus melenyapkan kenangan-kenangan hitam sepasa menerima keputusan UPSR dahulu. saya berpeluang untuk meneruskan pelajaran dalam aliran sains tulen yang sememangnya merupakan impian saya sejak berada di peringkat menengah rendah lagi.

motif utama saya mengutarakan tajuk kegagalanpada hari ini adalah kerana hari ini, ya hari ini, saya menemui SATU kegagalan lagi. saya baru sahaja merima senarai kedudukan pelajar untuk peperiksaan pertengahan tahun.amat mendukacitakan, walaupun saya mendapat 6A dalam peperiksaan ini, saya medapat tempat ke-21 di dalam kelas.ya, saya sangat sedih.saya berharap keputusan yang saya lihat merupakan satu kesilapan. saya benar-benar ingin menjadi paling kurang sepuluh terbaik di dalam kelas.

namun, dalam masa yang sama, saya berazam agar keputusan peperiksaan percubaan SPM, adalah sepuluh kali ganda lebih baik daripada kali ini. dan saya yakin, KEGAGALAN YANG BARU SAYA TEMPUHI AKAN MENGAJAR SAYA ERTI KEJAYAAN ESOK HARI.

Tunggu dan lihat,
SALAM MESRA

Sunday, July 09, 2006

NILAI SEBUAH PERSAHABATAN

Saya musykil jika ada orang yang mengatakan bahawa persahabatan tidak membawa apa- apa makna dalam kehidupan. Bagi saya, secara peribadi(mungkin pandangan anda juga) , setiap orang memerlukan sekurang- kurangnya seorang sahabat dalam hidupnya. tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa rakan kita menunjukkan siapa diri kita yang sebenar, ya, pendek kata, lihatlah wajah anda pada pada sebuah cermin, dan anda tentu dapat melihat sedikit sebanyak, rakan baik anda.

Sebenarnya, saya sendiri masih tidak berpeluang untuk memiliki sahabat yang rapat dengan saya, mungkin masanya belum tiba, atau mungkin saya ditakdirkan untuk berkawan dengan sesiapa sahaja disekeliling saya. Walaubagaimanapun, saya amat bersyukur kerana sepanjang saya hidup hampir 17 tahun di dunia ini, amat jarang saya menghadapi masalah dengan rakan-rakan saya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama manusia.

Saya sering kehilangan rakan. Semasa saya masih belajar dalam darjah 4, saya mempunyai dua rakan baik yang sering bersaing . Bukan sahaja dalam pelajaran, malah kecantikan juga menjadi ukuran. Cukup comel. Kami sering bekerjasama untuk menyiapkan kerja sekolah, melukis dan berbual-bual kosong. Masa berlalu, semasa melangkah ke darjah 5, kedua-dua rakan baik saya terpaksa berpindah, ah kejam benar masa menghukum persahabatan kami. Lebih menyedihkan, saya terputus hubungan dengan mereka dan kenangan itu bernoktah tanpa penutup sehingga ke saat ini. rindunya saya!

Semasa mula-mula memasuki alam persekolahan peringkat menengah, kebanyakan rakan sekelas saya memasuki sekolah berasrama. tinggallah saya meniti kehidupan baru, rakan- rakan baru serta pengalaman baru yang semestinya bukan lagi sama seperti dahulu. masa mencemburui saya lagi, jika dulu rakan-rakan meninggalkan saya, apabila saya berada di tingkatan dua, saya pula terpaksa berpindah ke sekolah baru. sekali lagi kenangan lalu menjadi sejarah dan permulaan yang begitu indah bermula.

kini, setelah hampir 3 tahun berada di sekolah baru, saya membuat kesimpulan "SAHABAT YANG BAIK ADA DIMANA SAHAJA, BERGANTUNG KEPADA KITA UNTUK MENCARINYA"

SALAM UKHWAH